
Sejarah Lisan
Himpunan video-video tentang sejarah lisan di Lembah Lenggong.
Orang Tua Pattani
Masyarakat Pattani merupakan majoriti penduduk yang ada di Lenggong. Mohd Razli merupakan generasi lama Lenggong yang berasal dari masyarakat Pattani. Sejarah asal usul masyarakat patani, dialek dan pakaian tradisi masyarakat Pattani merupakan perkara yang dikongsi oleh beliau.
Galeri Aki
Aki atau nama sebenarnya Lukhman merupakan seorang peminat dan gemar mengumpul barang-barang lama sejak dari bekerja sehingga beliau bersara. Setelah bersara beliau membuat keputusan untuk pulang semula ke kampung halamannya di kampung Chepor lenggong Perak untuk mengusahakan sebuah galeri yang menghimpunkan pelbagai barangan barangan lama dan bersejarah. Daripada minat mengumpul barang lama hingga ke sekarang galeri beliau tidak putus-putus dikunjungi pelancong tempatan ataupun antarabangsa. Galeri ini merupakan salah satu tempat yang wajib untuk pelancong hadir apabila beliau melancong di daerah Lenggong.
Pekan Lenggong
Pekan lenggong merupakan sebuah pekan yang mempunyai pelbagai sejarah sejak dari zaman sebelum merdeka sehingga sekarang. Kebanyakan bangunan kedai di pekan lenggong berusia lebih kurang 100 tahun usianya. Terdapat juga beberapa perniagaan yang menjadi perniagaan warisan turun temurun sehingga generasi ketiga yang mewarisi perniagaan tersebut di pekan lenggong ini. Selain daripada bangunan kedai terdapat bangunan-bangunan lain yang tua usianya seperti bangunan pejabat pos dan bangunan UMNO.
Geo Guide Lenggong
Sejak diistiharkan Lenggong sebagai tapak warisan dan budaya, kedatangan pelancong ke daerah Lenggong semakin hari semakin meningkat. Oleh yang demikian peranan seorang pemandu pelancong amatlah penting untuk menerangkan segala info yang tepat kepada pelancong yang datang ke Lenggong supaya mereka mendapat info yang betul tentang tapak-tapak warisan serta budaya masyarakat setempat di Lenggong. Sebagai seorang pemandu pelancong, Fadzli atau lebih dikenali sebagai Pak Li berserta pemandu pelancong yang lain yang mendapat sijil sebagai Geo Guide melakukan program bersama kumpulannya berserta pelancong tempatan membuat lawatan ke tempat-tempat yang bersejarah dan mempunyai nilai tapak warisan budaya di Lenggong.
Tok Batin Kampung Chupak
Kampung ini merupakan kampung orang asli yang terdapat di daerah Lenggong. Tok Win merupakan tok batin di kampung ini. Sebagai ketua masyarakat asli di kampung ini, beliau tetap menghadapi cabaran yang tersendiri untuk mengekalkan kebudayaan masyarakat asli di kampung ini dalam masa yang sama beliau tidak ingin melihat masyarakat kampungnya ini ketinggalan dalam pendidikan.
Kampung Gelok
Kampung Gelok merupakan antara kampung yang terawal terdapat di daerah Lenggong. Apa yang menariknya Kampung Gelok ini adalah ianya terletak berhampiran dengan gua-gua yang ada di Lenggong. Terdapat juga kubur waris Mahsuri di kampung Gelok, dipercayai waris Mahsuri telah lari meninggalkan Langkawi dan menetap di Kampung Gelok sehingga hari kematiannya. Di kampung ini juga terdapat pelbagai rumah tradisi yang masih ada.
Loghat Lenggong
Di daerah Lenggong ini terdapat beberapa loghat atau dialek yang berbeza mengikut kampung. Faktor yang mempengaruhi perbezaan dialek atau loghat ini adalah faktor geografinya yang pada suatu ketika dahulu agak sukar untuk mereka berjumpa dengan penduduk kampung yang lain kerana belum ada terbinanya jambatan. Walaupun sekarang pelbagai kemudahan telah disediakan termasuklah jambatan namun loghat dan dialek mereka masih mempunyai perbezaan mengikut kampung mereka.


